Tari Pembukaan
Tari Gamelan
Seni Pembukaan
Tari Migrasi Tionghua
Hadrah Marhaban Ya Marhaban Diraja Johor
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Hadrah Marhaban Ya Marhaban Diraja Johor merupakan karya ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi yang lahir daripada semangat menyambut kedatangan tetamu mulia dengan penuh adab, kasih sayang dan penghormatan yang tulus. Ungkapan "Marhaban ya Marhaban" bermaksud selamat datang yang diucapkan dengan hati yang gembira, penuh hormat dan kelapangan jiwa yang mendalam, khususnya untuk menyambut raja, kerabat diraja, orang kenamaan istana atau momen-momen yang dianggap mulia dan suci. Tarian ini mempunyai gerakan yang lembut namun berwibawa, menggabungkan unsur kesenian hadrah yang berirama dengan kehalusan gerak tari Melayu yang penuh makna, bukan sekadar hiburan sebaliknya sebagai satu bentuk penyampaian salam dan penghormatan melalui seni bunyi dan gerak, di mana setiap langkah dan ayunan tangan penari menggambarkan rasa rendah diri, kesetiaan dan kegembiraan menyambut kehadiran insan yang dihormati.
Alat muzik utama yang mengiringi tarian ini ialah Kompang Johor, iaitu alat muzik berupa bingkai kayu bulat yang ditutup dengan kulit haiwan pada sebelah permukaannya, dipukul dengan tangan untuk menghasilkan bunyi yang kuat, jelas dan berirama. Bunyi kompang yang bergema melambangkan suara hati masyarakat yang bersatu dan bergembira, rentaknya yang teratur dan harmoni mencerminkan ketertiban, kesepakatan dan disiplin dalam kehidupan bermasyarakat, manakala dalam konteks diraja ia menjadi lambang kedaulatan dan kemuliaan istana yang disambut dengan penuh bangga. Turut digunakan ialah Bakhoor Johor yang diperbuat daripada kayu gaharu, cendana dan ramuan wangi lain, dibakar di dalam bekas tembaga atau perak yang cantik ukirannya lalu asap wangiannya menyebar ke sekeliling ruang persembahan. Haruman bakhoor melambangkan keharuman nama, kemuliaan budi pekerti dan keberkatan yang dibawa oleh tetamu yang disambut, asapnya yang naik ke atas melambangkan doa dan pengharapan agar segala kebaikan dan kebahagiaan sentiasa tercurah kepada hadirin yang mulia, sekaligus menggambarkan kebersihan dan kesucian suasana serta hati masyarakat Johor dalam menyambut tetamu terhormat.
Tarian ini khusus dipersembahkan dalam majlis-majlis diraja dan rasmi yang istimewa seperti menyambut kedatangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, kerabat diraja, tetamu kenamaan negara serta upacara keraian istana yang besar, menjadi simbol penghormatan tertinggi yang dizahirkan melalui seni warisan yang bermutu tinggi dan menaikkan lagi seri majlis serta memperlihatkan keindahan adat istiadat Johor yang masih teguh dipelihara. Hadrah Marhaban Ya Marhaban Diraja Johor kini dianggap sebagai khazanah warisan seni baharu yang berakar umbi daripada nilai adat lama, dan akan terus dipelihara, dikembangkan dan dimartabatkan oleh Angkatan Seni Johor Diraja supaya semangat penyambutan yang penuh hormat dan kemegahan seni diraja Johor tidak akan hilang ditelan zaman, malah akan terus hidup dan dikagumi oleh generasi masa kini dan akan datang.
Hadrah Ṭalaʿal Badru ʿAlayna
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Hadrah Ṭalaʿal Badru ʿAlayna Karya Cipta Tunku Dr Indera Mohd Razi. Hadrah Ṭalaʿal Badru ʿAlayna merupakan satu ciptaan baru yang lahir daripada ilham dan penciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, sebuah karya yang merapatkan ikatan iman dan seni, diadun daripada sumber paling murni: kasih dan penghormatan kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Solawat itu adalah doa tulus dari kalbu, pengiriman rahmat, salam dan penghormatan kepada Baginda Rasul, pembawa ajaran belas kasihan, kejujuran dan penghormatan kepada seluruh manusia. Bagi masyarakat Melayu Johor sejak zaman silam, melagukan solawat bukan sekadar amalan lisan sahaja; ia adalah jalan menyatakan kasih, rasa syukur dan harapan agar kebaikan dan kedamaian melimpah ke atas setiap jiwa. Apabila diiringi rentak lembut hadrah dan gerak yang tertib serta anggun, ia menjelma menjadi tarian satu bentuk seni yang mengubah ketakwaan menjadi karya yang hidup dan nyata.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa perkara kerohanian diungkapkan melalui gerak dan tarian? Dalam budaya masyarakat Melayu Johor yang lahir dan berkembang di bawah naungan Empayar Kesultanan Johor, seni adalah lidah hati, segala apa yang tersimpan di sanubari, terluah melalui langkah, isyarat dan gerak. Setiap langkah dan pergerakan di sini membawa maksud yang mendalam: ia memperlihatkan bahawa iman dan kerohanian dapat dinyatakan dengan indah dan penuh adab. Gerak yang anggun melambangkan kesucian niat; ketenangan yang terpancar lahir daripada mengingati kebaikan; dan susunan yang teratur menggambarkan cita-cita hidup bersatu, saling menyayangi dan bermuafakat. Inilah pertemuan yang indah antara pegangan agama dan warisan seni yang diwarisi turun-temurun sejak zaman kegemilangan Kesultanan Johor.
Dalam persembahan ini, terpakai juga simbol yang tidak asing lagi di rumah-rumah dan istana-istana Johor dahulu Lampu Pelita. Ia bukan sekadar alat penerang semata-mata, melambangkan petunjuk, ilmu pengetahuan, harapan dan kebaikan. Seperti firman bahawa cahaya yang kecil pun mampu menyuluh tempat yang gelap, begitu jugalah kebaikan dan iman yang kita taburkan, walau sedikit, ia mampu membawa sinar dan arah kepada orang lain. Nilai ini telah sebati dalam kehidupan masyarakat Johor, yang sentiasa menganggap diri mereka sebagai pelita yang menyebarkan kebaikan sesama makhluk.
Apabila irama Ṭalaʿal Badru ʿAlayna adalah syair yang mengisahkan kedatangan Nabi yang bagaikan bulan purnama terbit di kaki bukit, dilagukan dan digerakkan bersama, terjadilah satu perpaduan yang harmoni: iman bertemu seni, tradisi bertemu keturunan, dan doa bertemu persembahan. Ia menjadi perayaan damai, rasa syukur, dan cahaya kebaikan yang ingin dikongsikan bersama semua orang, tidak kira rakan sekandung mahupun tetamu yang datang dari jauh, sehinggalah setiap orang yang menyaksikannya turut terilham untuk bersinar dengan kebaikan, persis pelita yang dinyalakan satu sama lain.
Karya ini adalah Khazanah Warisan Baru yang akan dipelihara, dikembangkan dan dimartabatkan oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA sebagai bukti bahawa warisan dan iman itu hidup, terus tumbuh dan mekar di tanah Johor, di bawah naungan bendera Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
Hadrah Selawat Maulid
Penulisan :- Tuanku Dr Indera Mohd Razi
Karya Seni Ibadah dan Warisan Diraja Johor
Hadrah Selawat Maulid merupakan satu karya seni tari yang diilhamkan dan dicipta oleh Tunku Dr Indera Mohd Razi, merangkumi gabungan keindahan ibadah selawat dengan kekayaan budaya warisan Melayu Johor yang terjalin erat sejak zaman kegemilangan Empayar Kesultanan Johor.
Selawat itu sendiri adalah doa dan kasih sayang tulus kita yang dihulurkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Apabila dilafazkan dengan keikhlasan hati, ia mendatangkan kedamaian, keharmonian dan kegembiraan jiwa. Apabila disatukan dengan irama yang lembut dan gerak tari yang anggun, ia berubah menjadi satu seni yang menghidupkan rasa pengabdian, menyatukan iman dengan keindahan seni budaya yang diwarisi nenek moyang kita.
Dalam tradisi masyarakat Melayu Johor sejak zaman Kesultanan, amalan selawat dan hadrah sentiasa menjadi sebahagian daripada upacara keramaian, sambutan hari besar Islam dan penyambutan kehormatan kepada pembesar serta kerabat diraja. Ia menjadi lambang kesatuan antara iman, adat dan kesusilaan yang menjadi tiang pegangan negeri. Karya ini menggambarkan betapa eratnya hubungan antara pegangan agama dengan warisan budaya yang dibina oleh raja-raja Johor terdahulu.
Persembahan ini diiringi dengan Bunga Manggar – hiasan tradisional mayang kelapa yang menjadi hiasan kegemaran dalam upacara adat Melayu Johor. Ia melambangkan pertumbuhan yang subur, kemakmuran, kegembiraan, perlindungan serta limpah rahmat yang melimpah ruah. Ia memperlihatkan bagaimana kepercayaan agama dan kekayaan warisan budaya Melayu berjalan seiring dan tidak terpisahkan. Bersama itu juga hadir Pelita, lampu minyak tradisional yang bukan sekadar sumber cahaya, tetapi simbol panduan, ilmu, harapan dan kebaikan. Ia mengingatkan kita bahawa walau sekecil mana pun cahaya yang kita pancarkan, ia mampu menerangi kegelapan, sepertimana kebaikan dan iman membawa cahaya dan arah kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
Apabila disatukan dalam harmoni, persembahan Hadrah Selawat Maulid ini memaparkan dengan indah bagaimana pegangan agama dan warisan budaya Johor menyatu menjadi satu. Ia adalah perayaan kedamaian, rasa syukur, dan cahaya kebaikan yang kita ingin kongsikan bersama semua, termasuk tetamu kehormat dari luar negara membawa limpah rahmat seindah Bunga Manggar, dan memancarkan kebaikan serta panduan seterang Pelita.
Kini, Hadrah Selawat Maulid menjadi khazanah warisan baharu yang akan terus dipelihara, dimartabatkan dan disebarkan ke segenap penjuru oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, sebagai bukti kesinambungan nilai murni dan warisan mulia yang diwarisi dari zaman Kesultanan Johor yang gemilang.
Tari Gamelan Johor
Tari Gamelan Johor merupakan satu permata seni warisan yang unik dan berharga, lahir dan berkembang di bumi Johor, memadukan kehalusan budi, keindahan gerak, dan keagungan irama yang menjadi identiti budaya negeri ini. Ia bukan sekadar persembahan tari, melainkan cerminan jiwa masyarakat Johor — yang lembut namun teguh, sederhana namun berwibawa, dan sentiasa menjaga kesopanan serta keindahan dalam setiap tindak-tanduk.
Diiringi oleh rentak gamelan yang khas — nada yang tenang, harmoni dan merdu — setiap langkah, lenggok tangan, dan gerak tubuh ditiupkan dengan penuh ketepatan serta keanggunan. Setiap pergerakan mempunyai makna yang mendalam: ia melambangkan kesusilaan, penghormatan, kasih sayang, serta keharmonian yang terjalin sesama makhluk dan alam sekeliling. Gerakannya yang berirama dan teratur mencerminkan susunan masyarakat yang teratur, berbudi bahasa, dan saling menghormati — nilai yang menjadi tiang kekuatan negeri Johor sejak dahulu lagi.
Tari Gamelan Johor juga adalah bukti kebesaran dan keunikan warisan budaya kita, yang diwarisi turun-temurun dan dipelihara dengan penuh kasih sayang. Ia berdiri sebagai bukti bahawa seni negeri ini mempunyai wajah yang tersendiri — berbeza, asli, dan kaya dengan jiwa yang sejati. Persembahan ini mengajak kita untuk menghargai warisan nenek moyang, menjaga keasliannya, dan mewariskannya kepada generasi akan datang agar tidak hilang ditelan zaman.
Sebagai sebahagian daripada khazanah Angkatan Seni Johor Diraja, Tari Gamelan Johor adalah lambang kebanggaan, jati diri, dan keindahan budaya negeri. Ia dipersembahkan bukan sahaja untuk memikat mata, tetapi untuk menyentuh hati — menyebarkan kedamaian, keindahan, dan semangat persatuan yang kekal abadi.
Tari Gamelan Perang Besar Perajurit
Penulisan :- Tuanku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Perang Besar Perajurit merupakan sebuah karya agung ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir hasil kajian mendalam terhadap seni warisan gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat kesultanan silam. Tarian ini bukan sekadar persembahan seni, melainkan satu penghidupan semula semangat keprajuritan yang pernah menjadi nadi kekuatan dan kemuliaan istana-istana Melayu di zaman dahulu.
Nama "Perang Besar Perajurit" sendiri membawa maksud yang mendalam — ia merujuk kepada tarian yang bersifat maskulin sepenuhnya, berkarakter gagah dan berwibawa, yang menggambarkan ketangguhan, kedisiplinan, serta kesungguhan olah keprajuritan di lingkungan istana. Ia mengangkat imej para prajurit istana yang bukan sekadar berbadan tegap, malah berjiwa ksatria: berani mempertahankan kebenaran, taat setia kepada raja dan negara, serta sentiasa bersedia mengorbankan jiwa dan raga demi kedaulatan tanah air. Tarian ini menceritakan kisah latihan ketenteraan yang dijalankan secara teratur dan bersungguh-sungguh, di mana para prajurit mengasah kemahiran dan memperkukuh semangat juang sebelum menghadapi sebarang ancaman.
Salah satu keunikan utama tarian ini adalah penggunaan senjata tradisional iaitu tombak panjang, yang menjadi lambang kekuatan dan kuasa pertahanan istana. Setiap gerakan yang dipersembahkan bukanlah gerakan sembarangan, ia mencerminkan ketangkasan tangan dan kaki, ketepatan sasaran, serta keserasian antara minda dan tenaga yang dimiliki oleh para pahlawan silam. Gerak-geriknya bersifat heroik, patriotik, dan penuh perasaan yang tulus; setiap langkah, setiap hayunan, dan setiap perhentian membawa mesej keberanian, disiplin yang tinggi, serta semangat setia kawan yang tidak berbelah bahagi. Ragam geraknya gagah dan tegas, tanpa kelainan yang lemah lembut, kerana ia lahir daripada jiwa-jiwa yang dilatih untuk tabah, berani, dan tidak mudah gentar menghadapi cabaran.
Sesuai dengan sifat dan roh tariannya yang luhur dan gagah perkasa, Tari Gamelan Perang Besar Perajurit ini ditarikan sepenuhnya oleh golongan lelaki. Kehadiran para penari lelaki ini bukan sahaja menonjolkan kekuatan fizikal, malah menjadi lambang tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh kaum lelaki dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan kerajaan. Persembahannya diiringi oleh alunan muzik gamelan yang berirama tegas dan bertenaga, yang menaikkan lagi semangat dan keagungan setiap gerakan yang dipersembahkan.
Tarian ini dikhaskan sebagai persembahan istimewa bagi majlis-majlis diraja, kehadapan orang kenamaan istana, serta kerabat diraja Johor. Ia bukan sekadar hiburan, melainkan satu bentuk penghormatan kepada warisan ketatanegaraan dan semangat kepahlawanan nenek moyang kita. Sebagai khazanah warisan budaya baharu yang lahir daripada akar umbi tradisi lama, Tari Gamelan Perang Besar Perajurit akan terus dipelihara, dikembangkan, dan dimartabatkan oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, supaya semangat keberanian, disiplin, dan kesetiaan yang terkandung di dalamnya terus hidup menjadi teladan bagi generasi-generasi yang akan datang.
Tari Gamelan Burung Togak Pikat
Penulisan :- Tuanku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Burung Togak Pikat merupakan satu lagi karya bermakna ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir hasil kajian mendalam terhadap seni warisan gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat nenek moyang kita.
Perkataan "Togak" diambil daripada dialek Melayu setempat yang bermaksud tegak atau berdiri tegak, manakala rujukan kepada burung togak atau burung pikat merujuk kepada gaya dan posisi burung yang berdiri sangat tegak, lurus, dan mendabik dada ketika bertenggek atau berbunyi satu sifat yang menjadi kebanggaan dan daya tarikan dalam tradisi pencinta burung di seluruh Nusantara.
Ilham tarian ini diambil daripada keindahan dan keanggunan gerak-geri burung tersebut, di mana penari menggambarkan ketegasan, ketinggian dan keanggunan bagai burung yang berdiri tegak dengan penuh keyakinan, diiringi alunan muzik gamelan yang lembut namun berirama tetap dan teratur.
Tarian ini dipersembahkan sepenuhnya oleh golongan perempuan, yang menggabungkan kehalusan gerak dengan sikap tegak dan berwibawa, mencerminkan gabungan kelembutan serta keteguhan budi pekerti Melayu. Dikhaskan sebagai persembahan istimewa bagi majlis-majlis diraja, kedatangan orang kenamaan istana dan kerabat diraja, ia menjadi lambang penghormatan yang tinggi dan tegaknya adat serta kesetiaan kepada institusi diraja. Kini, Tari Gamelan Burung Togak Pikat menjadi khazanah warisan baharu yang telah dipulihkan, dan akan terus dipelihara, dikembangkan serta dimartabatkan dengan penuh tanggungjawab oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, agar keindahan warisan leluhur ini terus tegak berdiri dan tidak hilang ditelan zaman.
Tari Gamelan Tongkang Masuk Labuh
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Tongkang Masuk Labuh merupakan satu lagi karya agung Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir daripada kajian mendalam terhadap seni warisan gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat nenek moyang kita.
Nama "Tongkang Masuk Labuh" sendiri mengandungi gambaran yang mendalam, diilhamkan sepenuhnya daripada suasana dan pergerakan air serta perjalanan kapal dagang yang menjadi nadi kehidupan pesisir pantai Tanah Melayu pada zaman dahulu, melambangkan kedatangan, keselamatan, kemakmuran dan hubungan baik antara pelbagai negeri dan bangsa di sepanjang perairan ini. Keunikan tarian ini terserlah melalui gerak lakunya yang penuh makna, di mana tangan kanan penari bersandang kain Jarik Samparan yang diibaratkan bagai layar kapal tongkang yang berkembang ditiup angin, bergerak lembut dan berirama selaras dengan alunan muzik gamelan, seolah-olah kita menyaksikan kapal-kapal tua itu berlayar tenang dan berlabuh dengan selamat di perairan Johor.
Tarian ini dipersembahkan sepenuhnya oleh golongan perempuan, dengan setiap langkah dan gerak tangan yang teratur, anggun dan penuh kehalusan budi, mencerminkan kelembutan serta kekuatan budaya Melayu yang telah lama bertapak di bumi pesisir ini. Sebagai persembahan khas yang dikhaskan untuk majlis-majlis diraja, kedatangan orang kenamaan istana dan kerabat diraja, ia bukan sekadar hiburan, melainkan penghormatan tulus dan ungkapan syukur atas kedatangan mereka, seindah dan selamatnya kapal yang berlabuh di pelabuhan yang aman.
Kini, Tari Gamelan Tongkang Masuk Labuh menjadi khazanah warisan baharu yang dipulihkan, dihidupkan semula, dan akan terus dipelihara serta dimartabatkan dengan penuh dedikasi oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, agar kenangan silam, keindahan budaya dan semangat pesisir Johor tidak pernah luput ditelan zaman.
Tari Gamelan Ayak-ayak Balai
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Ayak-ayak Balai merupakan sebuah karya ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir hasil kajian mendalam terhadap seni warisan gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat kebudayaan alam Melayu. Perkataan "Ayak-ayak" bererti Dayang-dayang, maka tarian ini juga dikenali sebagai Tari Dayang Balai. Sebuah tarian klasik Melayu yang diiringi sepenuhnya oleh alunan muzik Gamelan Melayu. Asal usulnya bermula dari istana Kesultanan Riau-Lingga sejak abad ke-17, khususnya di Pulau Penyengat, sebelum kemudian tersebar ke Pahang dan Terengganu, dan mula dipersembahkan dalam istiadat diraja Pahang pada tahun 1811. Lazimnya lagu dan tarian ini menjadi persembahan pembukaan dalam setiap pementasan tradisi gamelan, memegang kedudukan istimewa sebagai pembuka tirai kesenian diraja yang penuh keanggunan.
Gerak ragam Ayak-ayak Balai memancarkan kehalusan dan kelembutan yang menjadi ciri khas seni istana, diadun dengan pengaruh tradisi Jawa dan warisan Kesultanan Riau-Lingga yang kental. Tarian ini ditarikan secara eksklusif oleh golongan perempuan, yang melambangkan keanggunan, tata tertib dan kemuliaan para dayang-dayang istana dahulu. Setiap gerak langkah dan pergerakan tangan disusun dengan penuh tertib, selaras dengan rentak gamelan yang tenang dan berirama teratur seakan-akan menggambarkan suasana balai istana yang penuh kehormatan dan keagungan.
Sebagai warisan yang dikembalikan dan dimartabatkan, Tari Ayak-ayak Balai menjadi persembahan yang khusus didedikasikan untuk majlis diraja, orang kenamaan istana serta kerabat diraja Johor. Ia bukan sekadar tarian pembukaan, melambangkan pembukaan pintu kebudayaan, penghormatan tertinggi dan kebersamaan antara pemerintah dan rakyat. Kini, ia menjadi khazanah warisan baharu yang dijaga, dipelihara dan dimartabatkan oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, supaya sinar kebudayaan istana Riau-Lingga yang dahulu bersinar, terus hidup dan berakar-umbi di bumi Johor yang beradab dan berbudaya.
Tari Gamelan Perang Magong Johor
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Perang Magong Johor merupakan sebuah karya seni tari ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir hasil daripada kajian mendalam terhadap warisan seni gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat silam, menjadikan ia satu lagi khazanah baharu yang berakar pada tradisi kesenian tinggi di bumi Johor. Nama "Perang Magong" membawa makna yang tersendiri — Perang merujuk kepada warna keperangan atau keemasan, manakala Magong atau Manggong bermaksud rusa hutan, sejenis haiwan yang menjadi lambang kebebasan dan kelincahan di dalam hutan rimba.
Tarian ini mengisahkan legenda Raden Panji yang diutus oleh Raja untuk menemui seorang pertapa sakti bernama Ki Kesdik Wacana, bagi meminta beberapa ekor rusa peliharaan untuk dihantar ke istana. Sang pertapa itu bersetuju dan memasukkan rusa-rusa tersebut ke dalam sebatang buluh betung, serta melarang Raden Panji membukanya di tengah jalan. Namun kerana rasa penasaran yang tidak dapat ditahan, Raden Panji melanggar pantang larang itu dan membuka buluh tersebut dengan seketika itu juga rusa-rusa di dalamnya melarikan diri ke hutan belantara. Atas pelanggaran itu, beliau dikenakan hukuman dan diubah menjadi rusa wulung, iaitu rusa sakti berwarna perang, yang kemudian mengabadikan nama tempat berlakunya peristiwa itu.
Tari Perang Magong ini juga dikenali sebagai Tari Rusa, diiringi sepenuhnya oleh alunan muzik gamelan yang memukau, menggambarkan gerak-geri lincah, cergas dan tangkas seperti tingkah laku rusa di dalam hutan. Setiap pergerakan penari — melompat, berlari kecil, menoleh dengan pantas, serta ekspresi wajah yang penuh sifat terkejut, berwaspada dan ingin tahu, ditafsirkan dengan penuh kehalusan dan ketepatan, seolah-olah haiwan itu hidup semula di atas pentas. Tarian ini ditarikan sepenuhnya oleh golongan lelaki, yang melalui ketegasan dan kelincahan gerakannya, berjaya menonjolkan watak serta keperibadian Raden Panji yang berubah menjadi rusa sakti itu.
Persembahan Tari Gamelan Perang Magong Johor ini khususnya dipertunjukkan dalam majlis-majlis diraja, di hadapan Duli Yang Maha Mulia, kerabat diraja serta orang-orang kenamaan istana, selaras dengan asal-usul kisahnya yang berkait rapat dengan istana dan nilai-nilai ketaatan serta kesopanan dalam budaya Melayu lama. Sebagai khazanah warisan baharu yang berakar pada tradisi luhur, tari ini akan terus dipelihara, dikembangkan dan dimartabatkan oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, supaya nilai-nilai seni tinggi serta kisah-kisah silam yang menjadi jati diri bangsa kekal hidup dan diwarisi oleh generasi yang akan datang.
Tari Gamelan Topeng Galuh Johor
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Topeng Galuh Johor merupakan sebuah karya seni tari ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir daripada kajian mendalam terhadap warisan seni gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat Bendahara Riau, bukti kaitan erat dan berakar umbi antara kebudayaan istana Johor-Riau dengan kesenian gamelan yang diwarisi sejak zaman berzaman. Tarian ini juga dikenali sebagai Tarian Sembunyi Muka, sebuah nama yang melambangkan intipati ceritanya iaitu penyamaran identiti di sebalik topeng, selaras dengan tradisi hikayat dan epik Panji yang menjadi sebahagian daripada khazanah sastera Melayu silam.
Tari ini mengisahkan peristiwa Raden Menteri yang memujuk Raden Puteri, satu babak yang lazim terjalin dalam kisah-kisah epik Panji. Watak Galuh iaitu sang Puteri memakai topeng sebagai penyamaran untuk menyembunyikan wajah dan identiti sebenar, melambangkan bahawa kedua-duanya belum saling mengenali di sebalik pertemuan itu. Pada permulaan, Galuh menolak setiap usikan dan pujuk sang Panji, sehingga ketegangan memuncak dan hampir berlaku pertarungan. Namun, melalui kelembutan hati dan kesetiaan yang mendalam, akhirnya hati Galuh luluh dan beliau menerima cinta serta pertemuan sang Panji, membawa kebahagiaan dan penyatuan di antara keduanya. Tarian ini ditarikan sepenuhnya oleh golongan perempuan, yang melaluinya setiap gerak-geri dan perubahan suasana dipersembahkan dengan kehalusan dan keanggunan yang menggambarkan kedalaman perasaan dan perubahan jiwa watak-watak tersebut.
Persembahan Tari Gamelan Topeng Galuh Johor ini khususnya dipertunjukkan dalam majlis-majlis diraja, di hadapan Duli Yang Maha Mulia, kerabat diraja serta orang-orang kenamaan istana, selaras dengan asal-usulnya yang lahir daripada tradisi seni istana Johor-Riau. Ia bukan sekadar tarian hiburan, melambangkan keluhuran budi, kesopanan, dan kehalusan jiwa yang menjadi teras budaya Melayu lama. Sebagai khazanah warisan baharu yang berakar pada tradisi lama, tari ini akan terus dipelihara, dikembangkan dan dimartabatkan oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, supaya nilai-nilai seni tinggi serta kisah-kisah luhur warisan nenek moyang kekal hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Tari Gamelan Timang Burung Kedidi Johor
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Timang Burung Kedidi Johor merupakan sebuah karya seni tari yang dihasilkan oleh Tunku Dr Indera Mohd Razi, hasil daripada kajian mendalam terhadap warisan seni gamelan lama yang tercatat dalam risalah riwayat Bendara Riau. Dokumen bersejarah itu merekodkan kewujudan seni tari gamelan yang berjudul Timang Burung Kedidi, yang dikatakan telah dibawa dan diperkenalkan oleh rombongan kesenian Kraton Jawa ke wilayah tersebut pada zaman dahulu. Inspirasi ini diolah semula dengan penuh kehalusan supaya nilai seni aslinya dapat dikembalikan dan disesuaikan dengan semangat budaya Johor yang unik.
Tarian ini khusus ditarikan oleh golongan perempuan. Setiap gerak tarinya menggambarkan kelembutan, keanggunan dan ketelitian yang menjadi ciri utama seni tari gamelan, pergerakan tangan yang mengalun lembut, langkah yang teratur dan penuh adab, serta irama yang selaras dengan alunan muzik gamelan yang memukau jiwa. Lagu Timang Burung Kedidi sendiri mengandungi makna yang sarat dengan keindahan alam dan kiasan tentang kehidupan, menjadikan persembahan ini bukan sekadar hiburan, malah satu bentuk penyampaian cerita warisan bangsa yang bernilai tinggi.
Persembahan tarian ini lazimnya dikhususkan untuk majlis-majlis diraja dan upacara rasmi yang berprestij tinggi di istana, seperti menyambut kehadiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, kerabat diraja, serta para tetamu kenamaan yang dihormati. Di pentas yang terhormat itulah tarian ini dipersembahkan dengan penuh keanggunan, sebagai lambang penghormatan dan bukti kekayaan warisan seni yang diwarisi dari silam.
Tari Gamelan Timang Burung Kedidi Johor kini dianggap sebagai khazanah warisan seni baharu yang berakar umbi daripada nilai-nilai luhur budaya Melayu Johor serta pengaruh sejarah hubungan seni antara Jawa dan Johor. Ia akan terus dipelihara, dikembangkan serta dimartabatkan oleh Angkatan Seni Johor Diraja. Usaha murni ini dilaksanakan supaya keunikan seni tari gamelan Johor tidak akan hilang ditelan zaman, malah akan terus hidup dan dikagumi oleh generasi masa kini dan generasi akan datang sebagai bukti kemegahan warisan seni Johor yang penuh nilai sejarah dan keperibadian bangsa.
Tari Gamelan Kunang-kunang Malam
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Tari Gamelan Kunang-kunang Malam merupakan sebuah karya ciptaan Tunku Dr Indera Mohd Razi, lahir hasil kajian mendalam terhadap seni warisan gamelan lama yang tercatat di dalam risalah riwayat kebudayaan alam Melayu.
Nama "Kunang-kunang" diambil daripada serangga kecil yang berkelip-kelip cahayanya di waktu malam, ia menjadi inspirasi kepada gaya gerakan tari serta corak irama gamelan yang mengalun dengan anggun, menggamit dan menyesuaikan pergerakan penari seakan-akan kunang-kunang yang terbang beransur-ansur, berpusing dan berkerlipan dalam suasana yang penuh riang dan damai. Keunikan utama tarian ini terserlah apabila para penari memegang pelita di tangan, yang apabila digerakkan selaras dengan irama, menyerupai cahaya kerdipan kunang-kunang yang berterbangan di kegelapan malam, mencipta pemandangan yang memukau dan penuh keindahan lirik.
Tarian ini ditarikan sepenuhnya oleh golongan perempuan, yang melambangkan kelembutan, kehalusan dan keanggunan budi pekerti yang menjadi kebanggaan budaya Melayu. Setiap gerak langkah, lenggok tubuh dan pergerakan tangan disusun dengan penuh kesenian, selaras dengan alunan muzik gamelan yang lembut dan berirama teratur seakan-akan mengikuti alunan alam yang tenang di bawah sinaran bulan dan bintang.
Sebagai persembahan yang penuh keindahan dan makna, Tari Gamelan Kunang-kunang Malam dikhaskan untuk majlis-majlis diraja, orang kenamaan istana serta kerabat diraja Johor, sebagai lambang penghormatan dan keagungan budaya warisan. Kini, ia menjadi khazanah warisan baharu yang dijaga, dipulihara dan dimartabatkan oleh ANGKATAN SENI JOHOR DIRAJA, supaya keindahan cahaya budaya nenek moyang ini terus bersinar terang bagai kunang-kunang di malam hari, tidak akan pernah padam ditelan zaman.
Hadrah Salam Selawat
Penulisan :- Angkatan Seni Johor Diraja
Hadrah Salam Selawat merupakan persembahan pembukaan yang menjadi lambang keagamaan, keindahan budi, dan keharmonian jiwa Angkatan Seni Johor Diraja. Ia berdiri sebagai pintu pembuka yang suci — memulakan segala majlis dengan nama Allah SWT, memuji kebesaran-Nya, serta melafazkan kasih dan penghormatan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Diiringi rentak rebana yang teratur, lembut namun teguh, laungan selawat dan salam bukan sekadar bunyi irama, melainkan doa yang terangkai dalam nada kasih. Setiap tepukan, setiap paluan, dan setiap gerak badan yang disusun serentak melambangkan kesatuan hati — satu jiwa, satu arah, satu tujuan. Ia menyebarkan kedamaian ke dalam majlis, menyucikan niat para hadirin, dan memohon keberkatan agar segala urusan yang dijalankan diberkati, lancar, dan membawa kebaikan bersama.
Sebagai wajah pembuka Angkatan Seni Johor Diraja, Hadrah Salam Selawat memperlihatkan bahawa seni budaya kita berakar umbi daripada nilai kerohanian dan kesusilaan yang tinggi. Ia mengingatkan kita bahawa keindahan luaran tidak lengkap tanpa keindahan batin — kesopanan, keikhlasan, dan kasih sayang sesama makhluk adalah asas kepada segala persembahan.
Semoga laungan selawat ini menjadi pengantar rahmat, merapatkan ukhuwah, dan menaikkan semangat persaudaraan yang kekal abadi di bumi Johor yang diberkati.
Tari Migrasi Tionghua
Seni Tari Migrasi Tionghua adalah satu naratif hidup yang mengisahkan perjalanan, pengorbanan, dan penempatan semula masyarakat Tionghua ke tanah Johor — satu kisah yang teranyam dalam perantauan, ketabahan, dan akhirnya perpaduan. Ia bukan sekadar gerak tari di atas pentas, melainkan ingatan yang dijaga rapi — penghormatan kepada mereka yang meninggalkan kampung halaman, merentasi lautan yang luas, dan menjejakkan kaki di bumi asing dengan harapan membina kehidupan yang lebih baik.
Persembahan ini menggambarkan perjalanan yang penuh cabaran: langkah yang jauh, hati yang rindu, namun semangat yang tidak pernah luntur. Ia menceritakan bagaimana mereka membawa bersama budaya, bahasa, dan tradisi nenek moyang, lalu menanamnya di tanah Johor — menyuburkannya, berkongsi keindahannya, dan akhirnya menyatupadukannya dengan budaya-budaya lain yang sedia ada di sini. Setiap gerak lembut melambangkan kerinduan; setiap langkah teguh melambangkan keazaman; setiap senyuman yang terpancar melambangkan harapan yang tidak pernah padam walau di tempat yang jauh.
Tari ini juga memperlihatkan kebenaran yang indah: bahawa kehadiran masyarakat Tionghua di Johor bukan sekadar menetap, tetapi menyumbang tenaga, daya, dan jiwa kepada pembangunan negeri ini — dari ladang ke pelabuhan, dari kedai ke kilang, dari desa ke bandar. Mereka menjadi sebahagian daripada nadi negeri, membina keluarga, menjalin persahabatan, dan mewariskan kekayaan budaya yang kini menjadi milik bersama.
Sebagai sebahagian daripada khazanah Angkatan Seni Johor Diraja, Seni Tari Migrasi Tionghua mengingatkan kita bahawa warisan Johor dibina oleh banyak tangan, dari banyak tempat, dengan satu tujuan yang sama — membina negeri yang makmur, harmoni, dan bersatu hati. Ia adalah bukti bahawa perbezaan asal usul bukanlah tembok pemisah, sebaliknya jambatan yang memperkaya, mengukuhkan, dan menjadikan Johor sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai budaya yang hidup berdampingan, saling menghormati, dan saling menyayangi.
Semoga kisah ini terus diingati, dihargai, dan diwarisi — agar generasi akan datang tahu, bahawa keindahan Johor hari ini adalah hasil sumbangan semua anak-anaknya, tanpa mengira asal usul.
Cai Cha Gu Niang — Gadis Pemetik Teh
采茶姑娘
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
"Cai Cha Gu Niang", atau Gadis Pemetik Teh, merupakan sebuah karya tarian yang terilham daripada kehidupan serta kebudayaan bangsa Tionghua suku Hakka, satu masyarakat yang telah lama berakar tumbuh di bumi ini dan menjadi sebahagian daripada kekayaan warisan silam kita.
Di perkampungan-perkampungan perbukitan tempat tumbuhnya ladang teh, para gadis suku Hakka memulakan hari mereka dengan penuh semangat. Dengan bakul anyaman di pinggang atau di belakang, mereka melangkah ke barisan pokok teh yang hijau menyegarkan. Jari-jemari mereka yang lincah memetik pucuk daun muda dengan gerakan yang halus, pantas namun berirama satu kemahiran yang dipelajari sejak kecil, diwarisi daripada ibu kepada anak, daripada nenek kepada cucu. Kerja yang berat menjadi ringan, kesepian menjadi riang, kerana mereka tidak bekerja dalam kesunyian. Sambil memetik, mereka menyanyi dengan suara yang lembut namun jelas, menyanyikan lagu-lagu turun-temurun yang menceritakan kegembiraan hasil tuaian, kasih sayang kepada kampung halaman, serta harapan-harapan yang murni.
Irama nyanyian itu kemudian menjadi asas kepada gerak tari. Tangan melambai, jari bergerak meniru gerakan memetik, langkah kaki mengikut rentak yang lembut dan serentak. Tarian ini bukan sekadar pertunjukan, ia adalah cerminan jiwa masyarakat Hakka: rajin, tabah, bersatu hati, dan sentiasa gembira walau di tengah kesusahan. Setiap lenggok, setiap senyuman, membawa cerita tentang kesederhanaan dan keindahan hidup yang menyatu dengan alam semula jadi.
Kini, karya tari Cai Cha Gu Niang ini telah digubah dan diwujudkan sebagai sebahagian daripada khazanah seni warisan kita. Ia akan disimpan, dipelihara, dan dihayati di dalam Angkatan Seni Johor Diraja, agar semangat kebudayaan suku Hakka, keindahan nyanyian mereka, serta kelembutan tarian gadis pemetik teh ini terus hidup, diwarisi oleh generasi akan datang, dan menjadi kebanggaan seni budaya negeri Johor serta negara kita.
Dong Hai Bu Lao — Penangkapan Ikan di Laut Timur
東海捕撈
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Dong Hai Bu Lao, atau Penangkapan Ikan di Laut Timur, merupakan sebuah karya tarian yang diilhamkan daripada kehidupan dan warisan masyarakat Tionghua suku Teochew, satu kaum yang sejak dahulu kala dikenali sebagai nelayan yang gigih, mahir, dan berani menempuh gelombang samudera.
Masyarakat suku Teochew memang masyhur dengan sifat mereka yang rajin dan tabah, terutamanya dalam mata pencarian menangkap ikan, baik di tasik, sungai, mahupun lautan yang luas. Di pesisir pantai, apabila fajar menyingsing, para lelaki Teochew bersiap sedia menaiki perahu. Dengan kemahiran yang diwarisi turun-temurun, mereka melabuh jaring, mengendalikan dayung, dan membaca perubahan angin serta ombak dengan mata yang tajam dan naluri yang mendalam. Setiap gerak tangan mengikut rentak tarikan jaring, setiap langkah di atas dek perahu yang bergoyang adalah bukti kecekapan dan kekuatan jasmani mereka. Mereka tidak hanya bergantung kepada kekuatan tenaga, tetapi juga kepada kesepadan bekerjasama, satu hati, satu tujuan, untuk membawa pulang hasil laut yang menjadi rezeki keluarga dan kampung halaman.
Tarian ini mengangkat keindahan serta keberanian para nelayan lelaki suku Teochew: keteguhan hati mengharungi lautan yang kadangkala bergelora, kegembiraan apabila jaring penuh dengan ikan, serta rasa syukur kepada alam yang memberi nafkah. Ia adalah cerminan jiwa bangsa yang sederhana namun teguh pendirian, yang menjadikan laut sebagai teman dan sumber kehidupan.
Kini, karya tari Dong Hai Bu Lao ini telah digubah dan diwujudkan sebagai sebahagian daripada khazanah seni warisan. Ia akan disimpan, dipelihara, dan dihayati di dalam Angkatan Seni Johor Diraja, agar semangat keberanian, kerajinan, dan kebijaksanaan masyarakat suku Teochew terus bersinar, diwarisi oleh generasi akan datang, dan menjadi kebanggaan seni budaya negeri Johor serta negara kita.
San Shui Fu Nu — Wanita Samsui
三水妇女
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
San Shui Fu Nu atau Wanita Samsui, merupakan sebuah karya tarian yang diilhamkan daripada kisah hidup dan ketabahan masyarakat wanita suku Kanton yang berhijrah dari tanah leluhur mereka di Sanshui — yang bermaksud "tiga perairan" di wilayah Guangdong, China, serta kawasan-kawasan jiran yang berbahasa Kanton seperti Shunde dan Dongguan.
Dari tanah asal mereka, para wanita ini merantau ke Nusantara membawa harapan dan semangat juang yang tinggi. Di tanah asing, mereka memikul beban yang berat dan bekerja dengan tekun dalam pekerjaan yang sukar sebagai buruh binaan, di kuari batu, serta dalam pelbagai sektor pembangunan. Tangan mereka yang kasar namun lincah menyusun batu dan simen, bahu mereka yang tegap memikul beban yang diangkat, dan langkah kaki mereka yang teguh melangkah di tapak binaan setiap hari, tanpa kenal erti menyerah. Mereka tidak meminta kemudahan, tidak mencari kemewahan; sebaliknya, keringat dan tenaga mereka menjadi asas kepada pembinaan jalan raya, bangunan, dan prasarana yang membentuk wajah negara kita pada peringkat awal perkembangannya. Tarian ini menggambarkan ketabahan, kesetiaan, dan semangat kerajinan wanita Samsui, wanita yang senyap namun gagah, yang membina bangsa dengan tenaga dan ketulusan hati mereka.
Shanggu — Para Pedagang
商贾
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Karya tari Shanggu (商贾) ini mengangkat kemegahan dan ketabahan masyarakat Tionghua suku Hokkien, golongan yang sejak dahulu kala dikenali sebagai kelas pedagang dan saudagar yang paling menonjol di kalangan semua kelompok dialek Tionghua di Nusantara. Berbeza dengan suku-suku lain seperti Hakka dan Kantonis yang tiba lebih awal sebagai tenaga buruh di kawasan perlombongan timah atau pertanian di pedalaman, masyarakat Hokkien telah menempatkan diri mereka sejak awal lagi sebagai pelaut, saudagar borong, pengusaha perkapalan, dan pemilik kedai di bandar-bandar utama.
Semangat berdagang dalam kalangan masyarakat Hokkien bukanlah kebetulan semata-mata, melainkan lahir daripada keadaan tanah kelahiran mereka. Berasal dari Wilayah Fujian di pesisiran pantai China, tanah di sana berbukit-bukau dan kurang sesuai untuk pertanian besar-besaran. Oleh itu, nenek moyang mereka telah beralih ke arah perhubungan laut, pembinaan kapal, dan perdagangan antarabangsa — satu kemahiran yang telah dipelihara turun-temurun sejak beratus-ratus tahun sebelum mereka berhijrah ke Tanah Melayu.
Apabila mereka tiba di persisiran pantai Semenanjung ini, mereka memilih untuk menetap di pelabuhan-pelabuhan utama seperti Pulau Pinang, Melaka, dan Johor. Lokasi strategik ini membolehkan mereka menguasai rangkaian perdagangan masuk dan keluar negara, serta mengawal laluan perkapalan yang menghubungkan Tanah Melayu, Sumatera, Siam, dan tanah air asal mereka. Di sinilah nama baik mereka sebagai pengusaha dan peniaga yang bijak pandai, berintegriti, dan berwawasan mula dikukuhkan.
Shanggu bukan sekadar kisah harta atau kekayaan; ia adalah penghormatan kepada semangat keberanian merantau, kemampuan menyesuaikan diri, dan kebijaksanaan menyatukan kepentingan masyarakat tempatan dengan dunia luar — sifat-sifat yang menjadikan masyarakat Hokkien sebahagian daripada tiang pembangunan dan kemakmuran negeri Johor dan negara ini.
Karya ini akan disimpan sebagai khazanah seni rasmi di dalam simpanan Angkatan Seni Johor Diraja, agar semangat dan legasi mulia masyarakat Hokkien ini sentiasa diingati, dihormati, dan diwarisi oleh generasi-generasi yang akan datang.
Xiao Shang Fan — Si Penjaja Kecil
小商贩
Penulisan :- Tunku Dr Indera Mohd Razi
Karya tari ini mengangkat kisah perantauan dan kegigihan masyarakat Tionghua suku Hainanese yang telah menanam akar dan menyumbang kepada kemajuan Negeri Johor.
Masyarakat Hainanese merupakan salah satu kumpulan suku Tionghua yang penting di Johor, yang tiba terutamanya sejak akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Berbanding kumpulan suku lain seperti Hokkien, Teochew, Kantonis dan Hakka, mereka termasuk antara yang kemudian tiba di Tanah Melayu. Apabila sampai, peluang dalam bidang perlombongan, pertanian dan perdagangan besar telah pun dikuasai oleh kumpulan terdahulu. Justeru, mereka banyak menetap di pusat bandar seperti Johor Bahru dan Muar, dan mula membina kehidupan baru dari bawah. Sejak tahun 1870-an, masyarakat Hainanese telah bergabung dengan kumpulan lain untuk menubuhkan Kuil Kuno Johor, sebuah lambang perpaduan lima loghat yang kekal hingga kini.
Kerana tiba kemudian, mereka mencari jalan tersendiri untuk berdiri tegak. Bermula sebagai penjaja jalanan dengan memikul beban makanan dan minuman, berjalan dari satu tempat ke tempat lain, menawarkan hasil tangan mereka kepada sesiapa sahaja, inilah permulaan yang sederhana namun teguh. Dari sekadar penjaja kecil, mereka melangkah lebih jauh: menjadi tukang masak, jurumasak di rumah orang-orang kaya dan pegawai British, pengusaha kedai kopi atau kopitiam, dan akhirnya pemilik hotel serta perniagaan perkhidmatan. Bidang makanan dan keramahan yang mereka rintis telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya dan kehidupan harian di Johor sehingga hari ini.
Karya tari ini menggambarkan semangat itu: langkah yang ringan tetapi berazam, beban yang dipikul bukan sekadar barang dagangan, melainkan harapan dan masa depan. Ia adalah kisah tentang ketabahan, kebijaksanaan menyesuaikan diri, dan kejayaan yang dibina bermula dari jalanan.
Karya ini akan menjadi simpanan seni rasmi di dalam khazanah Angkatan Seni Johor Diraja, sebagai pengiktirafan kepada warisan dan sumbangan berharga masyarakat suku Hainanese kepada tanah air.